186 ahli PKBM Laut sertai kem motivasi
Sebahagian anggota PKBM Laut yang menyertai Kem Motivasi di Taman Rehlah, Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, baru-baru ini.
KOTA BHARU 26 Sept. - Seramai 186 pelajar daripada 12 buah sekolah menengah di Pantai Timur yang merupakan ahli Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Laut menyertai Kem Motivasi di Taman Rehlah Pantai Bisikan Bayu Pasir Puteh, kelmarin.
Buat julung kalinya, Yayasan Islam Kelantan (YIK) diberi penghormatan sebagai tuan rumah kem dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Wilayah Timur Sri Kuantan dan Kementerian Pelajaran.
Program selama tiga hari dua malam itu, dikendalikan oleh pasukan tersebut diketuai Leftenan Mohd. Nordin Sahab selaku kem komandan dengan dibantu 25 anggota serta 18 orang guru penyelaras.
Mohd. Nordin berkata, kem itu bertujuan memberi pendedahan dan maklumat kepada anggota PKBM Laut tentang kerjaya sebagai seorang anggota tentera laut.
"Melalui cara ini mereka yang berminat untuk menyertai pasukan tentera laut dapat mengetahui cara-cara mengemukakan permohonan selepas tamat pengajian.
"Ini penting sebagai persediaan awal sebelum mereka mengemukakan permohonan tersebut dengan menepati segala syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kami," katanya.
Mohd. Nordin memberitahu, pihaknya turut mengadakan ceramah motivasi berkaitan disiplin dan sahsiah pelajar untuk memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang boleh merosakkan diri mereka.
"Pihak kami juga turut menyelitkan ceramah berkaitan dengan cara-cara dan teknik awal menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi," ujarnya.
Majlis perasmian penutup kem tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Unit Sekolah YIK, Mohamad Ya yang mewakili Pengarahnya, Tengku Azmi Tengku Jaafar.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Memerintah TLDM Wilayah Timur, Komander Zamri Husin; wakil Jabatan Pelajaran Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Pengetua Maahad Muhammadi (Lelaki) Kota Bharu, Azhar Salleh.